17 DIS : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi memperketat dasar imigresen dengan memperluaskan larangan perjalanan ke AS melibatkan warga dari tujuh negara tambahan termasuk Syria.
Rumah Putih dalam satu kenyataan memaklumkan Trump mengambil langkah itu atas alasan keselamatan dengan menyekat kemasukan warga asing yang didakwa mempunyai niat untuk mengancam rakyat AS.
Dalam satu proklamasi, Trump turut menyatakan hasrat menghalang warga asing yang berada di AS sekiranya dianggap boleh ‘melemahkan atau menggugat budaya, kerajaan, institusi atau prinsip asas negara itu’.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas insiden mengorbankan dua anggota tentera AS dan seorang orang awam di Syria, negara yang sebelum ini cuba dipulihkan kedudukannya di peringkat antarabangsa oleh Trump.
Pihak berkuasa Syria memaklumkan penyerang terlibat adalah anggota pasukan keselamatan yang sepatutnya dipecat kerana menganut ‘ideologi Islam pelampau’.
Selain pemegang pasport Pihak Berkuasa Palestin (PA), negara lain yang dikenakan larangan penuh perjalanan ialah Burkina Faso, Mali, Niger, Sierra Leone dan Sudan Selatan serta Laos.
Sebelum ini, Trump sudah mengharamkan kemasukan warga Somalia, manakala negara yang masih tertakluk kepada larangan penuh termasuk Afghanistan, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Myanmar, Sudan dan Yaman.
Negara lain yang dikenakan sekatan separa ialah Nigeria, Angola, Antigua dan Barbuda, Benin, Dominica, Gabon, Gambia, Ivory Coast, Malawi, Mauritania, Senegal, Tanzania, Tonga, Zambia dan Zimbabwe.