18 APR : Iran menutup semula Selat Hormuz hanya selepas beberapa jam ia dibuka.
Keputusan itu diumum tentera Iran ketika lebih sedozen kapal dagang sedang melalui laluan maritim itu.
Komando tentera pusat Iran mendakwa keputusan itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) masih mengekalkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran yang jelas melanggar persefahaman dalam rundingan diplomatik.
Media Iran melaporkan selat itu kini di bawah kawalan ketat angkatan bersenjata.
Data penjejakan maritim menunjukkan beberapa kapal masih cuba meneruskan pelayaran melalui selat sempit itu dengan berhati-hati, menghampiri perairan wilayah Iran seperti diarahkan Tehran.
Malam tadi, beberapa kapal dilaporkan sudah mula memasuki selat itu namun ada yang berpatah balik berikutan ketidaktentuan situasi keselamatan.
Menjelang pagi Sabtu, beberapa kapal telah berjaya melintasi selat tersebut, namun sekurang-kurangnya dua kapal tangki dilaporkan membatalkan perjalanan mereka dan berpatah balik ke arah Teluk.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik global yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dan gas asli cecair dunia, menjadikannya antara titik paling kritikal dalam perdagangan tenaga antarabangsa.
Perkembangan ini berlaku ketika rundingan damai antara AS dan Iran masih berlangsung, dengan kedua-dua pihak terus berbeza pendirian mengenai isu sekatan laut serta stok uranium Iran.