24 APR : Iran terus mempamerkan sikap tidak gentar dengan ancaman Amerika Syarikat (AS) dalam tindakan terbaharu menyerbu sebuah kapal kargo gergasi di Selat Hormuz.
Melalui klip video yang disiar di televisyen negara Iran pada awal pagi Khamis, anggota komandonya lengkap bertopeng dilihat menaiki bot laju dan mendekati MSC Francesca sebelum dilihat memanjat tangga tali kapal itu.
Anggota komando itu kemudiannya melompat masuk ke dalam kapal sambil mengacukan senapang.
Turut kelihatan adalah sebuah lagi kapal kontena, Epaminondas di mana kedua-duanya dipercayai ada kaitan dengan Israel.
Iran mendakwa merampas kedua-dua kapal itu kelmarin atas tuduhan cuba melintasi selat berkenaan tanpa permit.
Rampasan itu sebagai peringatan bahawa meski AS mempunyai kekuatan ketenteraan yang jauh lebih hebat namun masih bergelut untuk mengekalkan kawalan sepenuhnya di Selat Hormuz.
Tindakan Iran itu berlaku selepas kegagalan rundingan damai dengan AS untuk kesekian kalinya.