27 APR : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal memimpin meski 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu, hari ini.
Memaklumkam perkara berkenaan pada sidang media, hari ini, Aminuddin berkata ketetapan tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menitahkan beliau terus mentadbir kerajaan negeri itu.
“Alhamdulillah, syukur, saya mengambil maklum pengumuman oleh 14 ADUN BN yang telah menyatakan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, saya telah mempersembahkan pemakluman kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berhubung kedudukan terkini sokongan ADUN terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
“Setelah melalui pertimbangan sewajarnya, Tuanku telah menasihati dan menitahkan agar saya meneruskan tanggungjawab mentadbir sebagai Menteri Besar seperti biasa selagi belum terdapat kejelasan muktamad mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pentadbiran negeri itu akan terus berjalan sebagai kerajaan minoriti.
Sementara itu, Aminuddin pada sidang media sama berkata kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa selaras peruntukan undang-undang dan Undang-Undang Tubuh kerajaan Negeri Sembilan.
“Segala tindakan seterusnya akan dilaksanakan mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Terdahulu, 14 ADUN BN mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri selepas hilang kepercayaan kepada Aminuddin.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata mereka kecewa terhadap isu yang melibatkan krisis perlembagaan Negeri Sembilan apabila tiada wakil UMNO-BN dalam barisan Exco dilibatkan atau dimaklumkan tentang krisis tersebut.