27 APR : Sebanyak 43,618 kandungan berunsur penipuan di media sosial sudah diturunkan penyedia platform setakat suku pertama tahun ini.
Timbalan Menteri, Komunikasi Teo Nie Ching berkata angka itu terus mencatat peningkatan mendadak setiap tahun.
Justeru itu katanya, kerajaan perlu bertindak tegas dalam mendidik masyarakat tentang literasi digital.
“Pada 2023, sebanyak 6,297 kandungan berkaitan scam telah diminta turunkan dan telah diturunkan tetapi kita nampak bahawa angka ini meningkat begitu drastik pada 2024 kepada 63,652 dan pada 2025 kepada 98,503.
“Trend ini membimbangkan, jadi kita perlu bekerjasama dengan media dalam usaha berterusan mendidik masyarakat tentang literasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Persekutuan Wartawan ASEAN ke-21 di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata meski Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuat permohonan untuk menurunkan 255,931 kandungan sejak 2023, namun tidak kesemuanya dipatuhi pihak penyedia platform di mana hanya 212,070 diturunkan setakat ini.
Ketika berucap, Nie Ching menekankan bahawa ancaman penipuan, berita palsu dan deepfake bukan lagi sekadar kebimbangan tempatan tetapi cabaran global yang memberi kesan kepada seluruh dunia.
Namun katanya, Malaysia terus komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memerangi maklumat palsu termasuk mewujudkan piawaian yang lebih jelas mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam kandungan media.