29 APR : Tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pakatan OPEC+ melonjakkan harga minyak mentah global secara mendadak.
Malam tadi, harga minyak mentah Brent meningkat 2.37 peratus (AS) kepada AS$110.79 setong, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 3.23% kepada AS$99.48 manakala minyak mentah Murban meningkat 2.54% kepada AS$106.84 setong.
UAE merupakan penyumbang besar pengeluaran OPEC minyak Murban.
Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy, Jorge Leon berkata Arab Saudi kini memikul tanggungjawab besar untuk mengekalkan kestabilan harga susulan tindakan UAE itu dan spasaran kehilangan salah satu pemain penting untuk mengurangkan kejutan harga.
“Kehilangan sebuah negara anggota yang mempunyai kapasiti pengeluaran 4.8 juta tong sehari dan hasrat untuk meningkatkan pengeluaran, menyebabkan kehilangan satu daripada medium penting dalam kumpulan itu. Masa keputusan itu dibuat turut memberikan petunjuk mengenai hala tuju pasaran minyak.
“Apabila permintaan minyak hampir mencapai tahap kemuncak, cara pengiraan bagi pengeluar dengan kos rendah berubah dengan cepat, dan menunggu giliran dalam sistem kuota kini dilihat seperti melepaskan peluang untuk menjana keuntungan,” katanyamenerusi nota penyelidikan malam tadi, lapor Bernama.
Menurut firma penyelidikan itu, meski kesan jangka pendek mungkin tidak begitu ketara memandangkan gangguan yang masih berlaku di Selat Hormuz dan ketidaktentuan geopolitik yang meluas namun untuk jangka panjang ia memberi kesan yang lebih besar.
“OPEC yang secara asasnya semakin lemah, dengan kapasiti simpanan yang berkurangan dalam kumpulan itu, akan sukar untuk menyesuaikan bekalan minyak dan menstabilkan harga,” menurut Rystad Energy.
Semalam, UAE mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada OPEC dan OPEC+ sekali gus memberikan impak besar kepada kumpulan negara pengeksport minyak itu.
Laporan menyebut tindakan UAE dibuat selepas mengkritik negara Arab lain kerana dianggap tidak memberikan perlindungan yang mencukupi ketika mereka diserang Iran.
Anggota OPEC yang lain termasuk 11 negara pengeluar minyak utama iaitu lima negara anggota pengasas, Arab Saudi, Venezuela, Iran, Iraq dan Kuwait serta Algeria, Congo, Guinea Khatulistiwa, Gabon, Libya dan Nigeria.