Kerajaan pastikan bekalan asas terjamin, tangani kesan konflik Asia Barat
28 APR : Kerajaan perlu memastikan bekalan asas kekal terjamin dan mengurangkan impak lonjakan kos terhadap rakyat dalam menghadapi kesan konflik Asia Barat yang kian meruncing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengendalikan krisis itu berpandukan data dan libat urus dengan pihak industri.
“Mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini, yang membincangkan secara terperinci usaha menguruskan krisis rantaian bekalan, bahan mentah dan kos sara hidup yang kian meruncing di seluruh dunia susulan konflik di Asia Barat.
“Kerajaan MADANI mengurus situasi ini secara berfasa berpandukan data, libat urus bersama industri serta tindakan segera di lapangan.
“Keutamaan kita bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan asas kekal terjamin serta mengurangkan impak lonjakan kos mendadak kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat MTEN, hari ini.
Menurutnya, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada lima keutamaan iaitu menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos kepada rakyat, memastikan projek penting tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan dan pendapatan keluarga serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.
Selain itu, MTEN katanya turut meneliti pembentangan Khazanah mengenai implikasi krisis bekalan global yang kini mengubah pertimbangan pelabur kepada faktor kestabilan tenaga, akses bahan mentah dan keupayaan negara mengurus kejutan.
“Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk bertahan, namun saya tegaskan kekuatan ini mesti diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun dan tegas,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dengan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang diperkasa, kerajaan akan memastikan negara kekal stabil, rakyat dilindungi.
“Kita berupaya bangkit dengan lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran ini,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA