Syarikat korporat disaran naikkan gaji pekerja
1 MEI : Syarikat korporat perlu lebih prihatin dan mempunyai ihsan terhadap kebajikan pekerja dengan mempertimbang kenaikan gaji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga dapat merangsang produktiviti syarikat.
Menurut Anwar, meski kerajaan menggubal dasar kenaikan gaji namun ua sukar dilaksanaan terhadap syarikat swasta memandangkan sistem sedia ada tidak menjadikan ia satu formula yang mudah.
“Kita mahu pekerja disiplin, produktiviti tinggi. Itu tanggungjawab pekerja di semua peringkat. Kita mahu negara ini bersih, maka tukang sapu sampah dan tukang cuci bekerja.
“Jadi bolehkah kita renungkan, ketuk pintu hati dan tanya, apakah mereka ini diberi perhatian dan keadilan secukupnya?’.
“Saya ingin menggunakan ruang ini di depan pekerja untuk mengingatkan semua, jika kita mahu pertahankan negara ini supaya aman, lebih inklusif, ia harus ada jiwa ihsan dalam konsep Negara MADANI.
“Saya tidak mengusulkan supaya upah diberikan sehingga menyebabkan syarikat itu rugi dan kehilangan daya saing. Saya hanya mengusulkan supaya pimpinan negara, pimpinan syarikat itu lebih prihatin dan mempunyai ihsan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2026, hari ini.
Dalam pasa itu, Anwar berkata berkata kerajaan sentiasa memberi tumpuan bagi menambah baik gaji dan kebajikan pekerja termasuk melalui Dasar Gaji Minimum dan Akta Pekerja Gig 2025.
“Pemimpin kesatuan, rakan-rakan di situ, nak dapatkan keputusan gaji minimum, bahas selama tujuh tahun. Nak naikkan dari RM1,200 ke RM1,500, itu pelbagai masalah dibangkitkan.
“Syarikat besar kata ‘Kita tidak mampu, kita akan jadi miskin kerana gaji naik sedikit” tapi alhamdulillah, barisan pimpinan hari ini menyatakan, mesti naik dan kita hadapi, maka naik RM1,500,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan Pakej Daya Tahan Ekonomi yang dinamakan Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian strategi pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh.
Katanya, PACE akan dilaksanakan melalui empat inisiatif utama yang membantu pekerja untuk terus berdaya saing.
Anwar berkata, ia juga sebagai persediaan kepada pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu mengikut permintaan dan keperluan industri terkini.