30 APR : Penahanan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa yang dilakukan Israel disifatkan sebagai bacul dan gila.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap tindakan itu.
“Ternyata rejim zionis Israel sanggup bertindak bacul dan gila apabila menahan aktivis GSF di perairan antarabangsa semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan.
“Kepada keluarga para aktivis, saya titipkan salam penuh kekuatan. Kerajaan MADANI tidak akan berdiam diri, kita sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dibebaskan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas berhubung dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung penahanan aktivis tersebut.
Dalam kenyataan berasingan beliau memaklumkan Malaysia sedang berhubung dengan beberapa negara rakan bagi memastikan pembebasan segera kesemua aktivis ditahan.
Tegasnya, keselamatan kesemua aktivis mesti dijamin tanpa kompromi.
“Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.
“Kerajaan MADANI sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan mereka dibebaskan dengan segera,” katanya.
Selain itu, Anwar menegaskan tindakan ganas Israel di perairan antarabangsa itu merupakan satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang maritim dan menyerupai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.
Katanya, dalam situasi getir ini, ihsan dan kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut.
“Kepada Allah SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan. Semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
“Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla. Hasbunallahu wa ni‘mal wakil,” katanya.
Terdahulu, GSF mengesahkan 21 kapal misi itu yang dalam perjalanan ke Gaza dengan membawa bantuan kemanusiaan dipintas Israel dan 10 rakyat Malaysia antara yang ditahan rejim itu.