4 MEI : Perdana Menteri menempelak tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan pelbagai perkara hingga mengetepikan fakta dan kebenaran termasuk melibatkan isu di Selat Hormuz.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keadaan di Selat Hormuz kini rumit dan ia berkait rapat dengan isu rantaian bekalan serta kenaikan harga tenaga di peringkat global.
Namun Anwar yang juga Menteri Kewangan yang ketika berucap turut menunjukkan kesesakan sebenar sedang berlaku di selat terpenting bagi bekalan tenaga itu berkata masih ada yang membuat kenyataan tanpa menilai fakta sebenar.
“Saya menggunakan data masa nyata (realtime) gambaran ringkas di Selat Hormuz. Tebingnya kecil dan keselamatan kapal-kapal itu sukar dikawal. Ini termasuk kapal Petronas.
“Saya cuma nak beritahu betapa rumitnya keadaan (di Selat Hormzu). Ada saya tengok ahli mesyuarat kerajaan sebuah negeri, dia kata ‘tak ada, (kapal) Petronas tidak lalu Selat Hormuz. Kita kena bayar (tol) di Selat Hormuz.
“Ini kadang-kadang politik di Malaysia, kadang-kadang dia tak kira fakta, dia tak kira benar. Sama ada dia atas nama Islam ke, atas anama Melayu ke, tas nama rakyat ke (tapi) kenyataan dia tidak pernah tabayyun…tidak pernah menilai kebenaran dan fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES), hari ini.
Terdahulu, PKR menuntut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim mengemukakan permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya yang mengatakan minyak negara tidak melalui Selat Hormuz.
Mengulas lanjut, Anwar berkata keadaan kapal tersangkut di laluan itu menyebabkan harga pengangkutan dan insuran bertambah yang memberi kesan kepada harga barang.
“Jadi apa kesannya? Saya nak tunjukkan di sini keadaan itu rumit, tidak mudah. Mesti melalui salah satu laluannya tapi tersangkut sekarang.
“Kalau dah tersangkut, ada yang mengatakan kami dah pesan harga lama…tak betul. Harga itu ditambah. Pertama kos freight (sewa kapal) bertambah. Kedua kos insurans bertambah.
“Ketiga melibatkan keselamatan anak-anak kapal, syarikat maka itu harga melambung tinggi dan terkesan dengan kita yang terima,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia bernasib baik kerana menjadi antara negara Asian yang masih terjamin bekalan minyaknya namun harga itu meningkat.
“Ini bukan msalah yang berpunca daripada kita. Tapi apa yang berlaku…sekarang harus kita kawal.
“Sebab itu kita terpaksa berdepan dengan harga minyak di Malaysia.Malaysia masih pertahan (subsidi) RON95. Cuma kita turunkan daripada 300 (liter sebulan) kepada 200 (liter sebulan),” katanya.
Menurutnya tindakan kerajaan itu diambil susulan terbeban dengan kos petrol dan diesel.
“Kalau harga itu melambung betul, ia mungkin mencecah sehingga RM6 bilion, tapi kalau setakat sekarang, RM5 bilion sebulan. Bayangkan 10 bulan RM50 bilion, daripada dana kerajaan.
“Satu dunia tiada yang boleh menyaingi kita. Kita (Malaysia) paling rendah di dunia RM1.99 (seliter) melainkan Brunei,” katanya.