4 MEI : Kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melebihi 98 peratus ketika ini adalah hasil penjenamaan semula bidang itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga bukti keberkesanan kerjasama strategik yang terjalin dengan pihak industri dalam transformasi pendidikan kemahiran bagi memastikan latihan diberikan relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Ini bukan sekadar perubahan nama tetapi satu anjakan besar dalam memastikan kandungan, standard dan kualiti latihan benar-benar memenuhi keperluan industri dan ekonomi masa hadapan.
“Jika enam dekad lalu menjadi asas kekuatan MARA, maka dekad mendatang mesti menjadi medan lonjakan baharu untuk membawa institusi ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Gala Persada MARA, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata melalui TVET, kerajaan mensasarkan untuk melahirkan graduan yang berupaya memimpin, membentuk generasi mampu berdaya saing dan mencipta peluang.
Justeru itu, beliau menyeru pihak industri bersama-sama kerajaan dalam menjayakan perkara itu demi masa depan negara.
“Kita mesti melahirkan teknousahawan dan pencipta peluang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya menggesa rakan industri untuk terus bersama-sama membuka ruang, membimbing dan melatih generasi ini agar mereka bukan sahaja bersedia untuk masa depan tetapi mampu menguasai masa depan itu sendiri,” katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga berkata MARA perlu beralih daripada institusi yang hanya membuka peluang kepada ekosistem membina kekuatan.
