8 MEI : Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Mereka adalah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.
Sementara itu, seorang lagi ADUN dan tiga ahli Parlimen Bersatu digantung keahlian.
Perkara itu disahkan menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, hari ini.
Difahamkan keputusan itu dicapai selepas Lembaga Disiplin Bersatu bersidang.
Menurut notis itu, Dzowahir dan Abdul Razak dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Bersatu turut menggantung hak keahlian untuk tempoh dua penggal pemilihan parti terhadap beberapa pemimpin termasuk ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.
Namun kesemua individu terlibat boleh membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.