PM bertemu rakan sejawat dari Kemboja, Vietnam, Thailand
8 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan tiga pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Kemboja, Vietnam dan Thailand bagi memperkukuh kerjasama strategik serta hubungan serantau sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Sidang-Sidang Berkaitan di Cebu.
Menurut Anwar, pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berlangsung dalam semangat persahabatan serantau yang terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia menghargai hubungan yang telah lama terjalin dengan Kemboja termasuk peningkatan hubungan antara rakyat, kerjasama ekonomi serta ikhtiar memperluas jaringan strategik dalam pelbagai bidang.
“Kami turut menzahirkan komitmen untuk memperhebat kerjasama dalam sektor perdagangan, kewangan, pendidikan tinggi, halal, pertanian dan pelancongan, di samping memperkukuh tatakelola keselamatan serantau khususnya dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta penipuan pekerjaan yang semakin membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Malaysia turut mengalu-alukan lebih ramai pelajar dan pelancong dari Kemboja ke negara ini selaras dengan semangat keterbukaan serta pembangunan bersama ASEAN.

Sementara dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Hung, Anwar berkata kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan persahabatan yang kini dipacu melalui Kerjasama Strategik Komprehensif.
“Kami menzahirkan komitmen untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), STEM, keselamatan makanan, tenaga boleh baharu serta tadbir urus kewangan yang lebih mampan dan progresif.
“Malaysia juga menyambut baik pemeteraian pelbagai inisiatif strategik termasuk MoU Ekonomi Digital dan pelaksanaan projek tenaga rentas sempadan yang mampu mendukung pertumbuhan serantau,” katanya.
Ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, Anwar berkata kedua pemimpin menzahirkan iltizam untuk memperkukuh hubungan dua hala termasuk mempercepat sasaran perdagangan AS$30 bilion menjelang 2027 serta memperluas kesalinghubungan rentas sempadan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Kami turut menegaskan bahawa segala pertikaian mesti dileraikan secara damai berlandaskan undang-undang antarabangsa, di samping mempertahankan kesatuan ASEAN sebagai wahana keamanan dan kestabilan serantau.
“Malaysia kekal komited mendukung diplomasi, dialog dan prinsip yang berpaksi pada sikap saling hormat serta kepentingan bersama,” katanya.
Tambahnya, dalam semangat kejiranan yang akrab, Malaysia dan Thailand akan terus memperhebat kerjasama melibatkan pembangunan sempadan, jaringan rel dan logistik, keselamatan tenaga, mitigasi banjir serta hubungan rakyat ke rakyat.
“Keakraban ini bukan sekadar meneruskan legasi persahabatan yang telah lama terbina, tetapi juga menjadi asas penting dalam menyemarak masa depan rantau yang lebih aman, makmur dan berdaya tahan,” katanya.