9 MEI : Tahun depan menandakan satu detik penting dalam hubungan Malaysia dan Persekutuan Rusia dengan sambutan Ulang Tahun Ke-60 hubungan diplomatik antara dua negara.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah sejak tahun 1967, kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang secara konsisten menjadi hubungan yang kukuh dan produktif.
Sultan Ibrahim bertitah pertemuan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di St Petersburg awal Januari lalu berlangsung dalam suasana konstruktif dan membuahkan hasil positif apabila kedua-dua pemimpin berkongsi aspirasi yang sama untuk mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
“Perjalanan panjang yang ditempuhi bersama serta pencapaian signifikan dalam hubungan Malaysia-Persekutuan Rusia wajar diraikan menerusi sambutan yang bermakna dan bersejarah,” titah baginda menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam pertemuan empat mata bersama Putin di Kremlin, Moscow, hari ini.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda ke Kremlin disambut mesra Putin.
Selain itu, vaginda turut berkenan membalas jemputan dan penghormatan yang diberikan Persekutuan Rusia dengan menjemput Putin mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada tahun 2027 sempena sambutan Jubli Intan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Sultan Ibrahim turut melakar sejarah apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama yang dijemput sebagai Tetamu Kehormat ke Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Hari Kemenangan di Moscow, Persekutuan Rusia di Dataran Merah, hari ini.
Jemputan khas daripada Putin kepada baginda untuk berangkat ke sambutan berkenaan mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia.
Baginda turut berkenan berangkat menyaksikan perarakan ketenteraan bersama Presiden Putin serta para tetamu kehormat lain.
Antara pemimpin yang hadir Presiden Belarus, Aleksandr Lukashenk; Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev; Presiden Laos, Thongloun Sisoulith dan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico.
“Hari Kemenangan disambut setiap tahun dengan penuh istiadat diiringi Perarakan Ketenteraan di Dataran Merah, Moscow.
“Sambutan bersejarah ini bertujuan memperingati kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dari tahun 1941 hingga 1945,” menurut hantaran tersebut.
Dalam pada itu, keberangkatan baginda ke Moscow sebagai Tetamu Kehormat bukan sahaja mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati di persada antarabangsa, malah menzahirkan peranan Institusi Diraja yang amat penting dalam pengukuhan hubungan antarabangsa bagi manfaat bersama.

*FOTO: FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISMAIL