13 MEI : Datuk Seri Abdul Halim Aman memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdul Halim atas pelantikan itu.
Beliau percaya kredibiliti dimilik Abdul HJalim akan memberi nilai tambah terhadap suruhanjaya itu
“Tahniah diucapkan atas pelantikan Datuk Seri Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya, SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei 2026.
“Insya-Allah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman dalam jalur perundangan akan terus memberi nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguatkuasa yang berprestij di dalam dan luar negara. Selamat berkhidmat!,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bulan lalu.
Abdul Halim menggantikan Tan Sri Azam Baki yang bersara semalam, selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Shamsul Azri menzahirkan penghargaan terhadap Azam Baki atas khidmat beliau.
“Terima kasih dan penghargaan atas perkhidmatan selama 42 tahun dalam SPRM. Banyak kejayaan dan reformasi yang telah dilaksana dalam menerajui SPRM sebagai sebuah badan penguatkuasa yang unggul.
“Jasa bakti Tan Sri akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya.
