12 MEI : Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menegaskan kenyataannya berkait kuota RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dipetik di luar konteks.
Jelasnya, beliau tidak membuat sebarang pengumuman penurunan kuota kepada 150 liter sebulan seperti dilaporkan.
“Pagi ini, dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank, saya ditanya mengenai strategi kerajaan untuk menangani krisis tenaga. Namun, apabila dilaporkan, ia tidak tepat kerana diambil di luar konteks.
“Perlu dijelaskan di sini bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau dilaporkan berkata kerajaan mungkin mengurangkan kuota bahan api bulanan BUDI95 kepada 150 liter sebulan selepas diturunkan kepada 200 liter daripada 300 liter sebelum ini.
Menurutnya, data semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat menggunakan RON95 lebih rendah daripada kuota yang ditetapkan iaitu kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
Beliau berkata demikian ketika sesi ‘Fireside Chat: Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better’ sempena ‘AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026’, hari ini.
Sementara itu, Chin Tong melahirkan kekesalan susulan kenyataannya yang mencetuskan salah faham.
“Apa yang saya jelaskan adalah BUDI95 mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
“Keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama.
“Masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh yang paling lama, dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol.
“Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham dan saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan. Terima kasih,” katanya.