13 MEI : Malaysia kesal dengan keputusan Norway menarik balik kebenaran eksport peluru berpandu yang sudah dimetrai sejak 2018.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketika ini kerajaan sedang menggunakan saluran diplomatik bagi menyelesaikan perkara itu.
“Mesyuarat jemaah menteri hari ini dimaklumkan hasil perbincangan terkini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan Perdana Menteri Norway (Jonas Gahr Støre), semalam.
“Kerajaan Malaysia amat kesal terhadap tindakan Kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport bagi perolehan sebuah siri peluru berpandu pada saat akhir, sehingga syarikat Norway terlibat tidak dapat meneruskan pembekalan seperti yang sudah dipersetujui walhal kontrak tersebut dimeterai sejak 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurutnya, kerajaan tidak dapat menerima alasan-alasan yang dikemukakan Norway dan mempertimbang tindakan dari sudut perundangan.
“Kontrak telah dilaksanakan tanpa sebarang isu dan semua aspek pembayaran kontrak dibuat mengikut jadual. Malaysia tidak dapat menerima alasan-alasan yang dikemukakan kerajaan Norway.
“Pada waktu ini, usaha melalui saluran diplomatik sedang dilaksana selain Kerajaan Malaysia turut mempertimbang tindakan susulan sewajarnya dari sudut perundangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata perancangan pelaksanaan Pelan Pertahanan Negara merupakan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Terdahulu, Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport teknologi tertentu dalam usaha memperketat kawalan eksportnya.
Sekatan itu termasuk melibatkan perolehan Peluru Berpandu Tempur Tentera Laut (NSM) yang dimeterai antara TLDM dan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
Peluru berpandu tersebut mampu melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.