19 MEI : Menteri Luar dari 10 negara dunia mengutuk tindakan rejim zionis Israel yang memintas dan menahan kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Perkara itu disuarakan dalam kenyataan bersama oleh Jordan, Indonesia, Sepanyol, Pakistan, Brazil, Bangladesh, Turkiye, Colombia, Libya dan Maldives.
Kementerian Luar Jordan dalam kenyataan itu menegaskan misi itu merupakan inisiatif kemanusiaan awam bagi menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di bumi Gaza.
Kenyataan sama turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan memintas kapal di perairan antarabangsa serta sebarang tindakan agresif yang menyasarkan kapal awam dan aktivis kemanusiaan.
“Para menteri mengingatkan kembali dengan penuh kebimbangan mengenai campur tangan Israel terhadap flotila-flotila terdahulu di perairan antarabangsa dan mengecam tindakan ganas berterusan yang menyasarkan kapal-kapal awam serta aktivis-aktivis kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, penahanan terhadap aktivis juga satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan yang menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan serta menggesa supaya hak dan maruah mereka dihormati.
“Para Menteri menzahirkan kebimbangan yang serius mengenai keselamatan dan perlindungan para peserta awam flotila tersebut dan mendesak pembebasan segera semua aktivis yang ditahan serta penghormatan penuh terhadap hak dan maruah mereka.
“Para Menteri seterusnya menegaskan bahawa serangan berulang terhadap inisiatif kemanusiaan yang aman mencerminkan sikap terus mengabaikan undang-undang antarabangsa dan kebebasan pelayaran,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, masyarakat antarabangsa digesa agar memainkan peranan bagi memastikan keselamatan orang awam dan melindungi misi kemanusiaan, selain meningkatkan akauntabiliti terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.
Foto: Sumud Nusantara Official