23 NOV : Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar mengalami kecederaan di kepala sehingga dijahit selepas tergelincir di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Kejadian dipercayai berpunca daripada permukaan lantai tandas yang licin sehingga menyebabkan kepalanya terhentak ke lantai.
Jamawi menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau menerima rawatan termasuk jahitan luka di Menara Medical Clinics KLIA.
“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA.
“Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai. Terima kasih doktor dan jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat dan menjahit luka tadi,” katanya.
Susulan kejadian itu, beliau turut meminta pihak Malaysia Airports melaksanakan penambahbaikan permukaan lantai tandas serta menyediakan laluan kecemasan ke klinik berhampiran.
Jamawi juga mencadangkan latihan diberikan kepada kakitangan lapangan terbang bagi memastikan bantuan awal kecemasan dapat dilaksanakan sekiranya insiden seumpama itu berulang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kenalan yang menghubunginya untuk bertanya khabar, termasuk Tan Sri Anuar Musa dan Datuk Yusuf Apdal.
Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari ini selepas melalui perjalanan jauh dari Brasilia, Sao Paulo dan Doha sebelum tiba di KLIA.