2 JUN : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh penting berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata proses itu akan berjalan selepas menerima pemakluman rasmi berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“SPR mengambil maklum sidang media oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15 pada 1 Jun 2026.
“Sehubungan dengan itu, SPR akan memaklumkan tarikh bagi mengadakan Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-16 sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berkaitan tarikh pembubaran Dewan Negeri Johor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media.
Semalam, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menurut Onn Hafiz, pembubaran itu selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
“Saya menyeru kepada semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh adab, tertib serta berhemah,” katanya.
Pada PRN Johor yang berlangsung Mac 2022, BN menang dengan 40 kerusi dan membentuk kerajaan negeri sementara Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang 3 kerusi serta parti Muda 1 kerusi.