Usaha keamanan tidak boleh diserah kepada politik semata-mata
12 JUN : Usaha mewujudkan keamanan dunia tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan politik semata-mata.
Sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia perlu dipandu nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan dalam mendepani pelbagai krisis global.
Menurut Anwar, peranan pemimpin agama sebagai suara nurani, kesederhanaan dan kebijaksanaan kini semakin penting ketika dunia berdepan konflik, perpecahan dan ketidaktentuan.
“Saya menegaskan keamanan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan politik semata-mata.
“Nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan mesti terus menjadi panduan dalam mendepani pelbagai krisis yang sedang melanda dunia termasuk tragedi kemanusiaan yang berterusan di Gaza dan beberapa wilayah lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga yang menghimpunkan pemimpin agama, ulama, cendekiawan, ahli akademik dan pembuat dasar dari 31 negara, malam ini.
Anwar berkata Malaysia kekal berpegang kepada prinsip saling menghormati, hidup dalam kepelbagaian serta menjunjung kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin Perlembagaan.
Menurut beliau, sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia percaya kekuatan sebenar bukan terletak pada keseragaman, tetapi keupayaan mengurus perbezaan secara adil, bijaksana dan penuh hormat.
Beliau turut mengingatkan bahawa agama tidak seharusnya dijadikan alat untuk menyemarakkan kebencian atau permusuhan.
“Saya turut ingatkan bahawa agama tidak seharusnya menjadi alat untuk menyemarakkan kebencian atau permusuhan.
“Sebaliknya, ia mesti terus menjadi sumber damai, perpaduan dan pembelaan terhadap maruah insan tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang,” katanya.
Beliau berharap dialog dan wacana seumpama itu akan terus memperkukuh persefahaman antara masyarakat serta menyuntik harapan bahawa dunia yang lebih aman, adil dan berperikemanusiaan masih mampu dibina.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan ucaptama perasmian sidang kemuncak berkenaan.
