15 JUN : Caj RM1 yang dikenakan sebelum ini bagi mana-mana pengeluaran wang tunai di mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) dimansuhkan mulai 1 Julai 2026.
Pemansuhan itu diumumkan Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) melalui satu kenyataan bersama, hari ini.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.
“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).
ABM, AIBIM dan ADFIM berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.
Menurutnya, pemansuhan caj tersebut mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan selain membantu meringankan beban rakyat.
Meski wang tunai masih merupakan pilihan penting, kenyataan berkenaan menyebut pihak industri mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.