18 JUN : Penubuhan Majlis Tahfiz Negara sudah mendapat kelulusan kerajaan dalam mesyuarat jemaah menteri, minggu lepas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia merupakan satu inisiatif penting bagi menyelaras hala tuju pendidikan tahfiz negara termasuk dalam aspek model pendidikan, standard pengiktirafan serta laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta saya yang menjadi pengerusi (Majlis Tahfiz Negara).
“Insya-Allah dengan sokongan semua penubuhan ini akan menjadi satu langkah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan Huffaz Negeri Pahang Tahun 2026 yang julung kali diadakan dan menghimpunkan lebih 5,000 huffaz, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata melalui inisiatif tersebut, beliau melihat laluan lebih jelas untuk pelajar aliran tahfiz ke universiti.
“Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka,” katanya.
