2 NOV: Rancangan menyambung Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Masjid Tanah mampu memberi limpahan ekonomi kepada kawasan tersebut jika direalisasikan.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata pembangunan yang dicadang itu tentunya membuka ruang untuk rakyat di kawasan sekitar menambah pendapatan terutama peniaga-peniaga.
“Saya rasa tentang WCE yang disebutkan oleh Datuk Zahid Hamidi, itu sudah tentu satu satu perkara yang sangat menggembirakan untuk terutama untuk orang Melakalah kerana ia adalah prasarana untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat dan rakyat.
“Jadi siapa yang tak nak cuma saya tak pasti bila akan dilaksanakannya dan apa kaedah dan masa yang diambil untuk melaksanakan WCE. Tapi yang pastinya, ia akan memberi impak kepada sektor ekonomi rakyat di negeri Melaka khususnya dan amnya di Masjid Tanah tanah ni kerana pasti ada peniaga-peniaga yang boleh menambah pendapatan,” katanya.
Abdul Hakim ditemui ketika ‘Walkabout’ di Pasar Malam Masjid Tanah pada hari kedua kempen, pada Ahad.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang memaklumkan penambungan WCE itu dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, jika ia direalisasikan, jajaran baharu lebuh raya itu bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan trafik malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan yang terlibat.
“Sekarang ini jajaran yang telah siap adalah dari Taiping ke Banting, Selangor. Selepas ini, Insya-Allah daripada Banting sampai ke Masjid Tanah, sampai ke Batu Pahat, sampai ke Pontian, ia akan melalui Masjid Tanah.
“Datuk Rauf (Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh)…ini perbincangan kita dulu. Lebuhraya Pantai Barat bukan sahaja dari Pontian, Batu Pahat dan Muar, ia akan sampai ke Masjid Tanah ini. Kita mulakan daripada Masjid Tanah ke Banting terlebih dahulu, Insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hakim yang merupakan calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi fokus kepada isu kebajikan rakyat dan pembangunan terutama bagi mengatasi masalah banjir di kawasan DUN Lendu.
“Walaupun sudah ada projek-projek penambahbaikan, tapi pasti akan ada lagi tempat-tempat yang mungkin terlepas pandang dan sebagainya yang perlu diambil kira,” katanya.
Mengulas soal corak kepimpinan Ab Rauf, Abdul Hakim berkata Ketua Menteri Melaka itu membawa kemajuan yang berbeza dengan pemimpin-pemimpin lain malah sistem masyrakat bertambah baik dengan wujudnya Kampung Digital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi luar agar cakna dengan keadaan semasa dan pulang mengundi pada 14 November ini bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
