22 JUN : Harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 daripada RM2.15 seliter mulai bulan depan.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad.
Jelas MoF, mekanisme itu selaras dengan pendekatan yang sudah dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bintulu, Sarawak hari ini (21 Jun 2026), Kerajaan MADANI akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026,” menurut MoF dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut MoF, melalui pembaharuan itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.
“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” jelas MoF lagi.
Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia, katanya.
“Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi.
“Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter,” kata MoF.
Tambah MoF, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumum Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, hari ini.
Pada kenyataan sama, MoF memaklumkan dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, langkah itu penting bagi memastikan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
“Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi termasuk ke luar negara,” kata MoF.