2 NOV : Pengeluar automotif, EP Manufacturing Berhad (EPMB) menyasarkan pengeluaran lebih 30,000 kenderaan setahun menerusi pengembangan operasi pemasangan kenderaan di Pegoh, Alor Gajah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu mencerminkan perkembangan pesat keupayaan syarikat berkenaan yang kini beralih daripada pembuatan komponen automotif kepada pemasangan kenderaan lengkap.
Beliau berkata, perkembangan itu turut diperkukuh menerusi pelancaran pengeluaran dua model hibrid baharu Great Wall Motor (GWM), iaitu WEY G9 HEV dan EC15S HEV di kilang EPMB.
Menurutnya, pencapaian itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab industri automotif, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat negeri ini.
“Ini adalah kemajuan yang kita mahu lihat di Melaka. Lebih banyak pelaburan, kapasiti pengeluaran lebih besar dan paling penting, lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Toll-Off Pemasangan Dua Model GWM WEY G9 HEV dan EC15S HEV di HICOM Pegoh, Alor Gajah, hari ini.
Ab Rauf berkata, perkembangan industri automotif Melaka turut membuktikan keupayaan kenderaan yang dipasang di negara ini untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, lebih 1,100 unit GWM WEY G9 yang dipasang di Malaysia sudah dieksport ke Thailand dan Indonesia, manakala jumlah keseluruhan kenderaan GWM yang dipasang di negara ini kini melebihi 10,000 unit.
Beliau berharap dua model hibrid baharu berkenaan turut menembusi lebih banyak pasaran ASEAN sebelum diperluaskan ke peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, sektor pembuatan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi Melaka apabila menyumbang 35.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri yang mencecah RM50.3 bilion pada 2025.
Katanya, Melaka mempunyai kelebihan dari segi kawasan perindustrian, infrastruktur moden, jaringan perhubungan, tenaga kerja mahir serta rangkaian pembekal tempatan yang mampu menyokong perkembangan sektor berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kemudahan infrastruktur dan penyelarasan antara agensi bagi memudahkan pelaksanaan pelaburan serta menyokong perkembangan teknologi mobiliti generasi baharu.
Beliau berkata, Melaka kini mempunyai 195 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) di 95 lokasi, dengan tambahan 10 unit lagi dirancang menjelang akhir 2026.
Usaha itu katanya, merupakan sebahagian daripada sasaran kerajaan negeri untuk menyediakan 300 unit pengecas EV menjelang 2027.
“Melaka bukan sahaja bersedia menerima pelaburan, malah menyediakan infrastruktur, tenaga kerja dan ekosistem yang tepat untuk industri berkembang, melakukan inovasi dan mencapai kejayaan,” katanya.
