23 JUN : Kerajaan menjamin wang sumbangan yang disalur ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) akan sampai kepada rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia bukan akaun badan bukan kerajaan (NGO) dan sebarang permohonan bagi mengeluarkan dana berkenaan akan diurus mengikut prosedur ditetapkan.
Malah, AAKRP yang ditubuhkan kerajaan itu juga mempunyai jawatankuasa dan bahagian kewangannya sendiri serta akan diaudit Ketua Audit Negara.
“NGO kita adalah Ops Ihsan, yang ditubuhkan kementerian dan mempunyai 38 badan yang bergabung, termasuk Mercy Malaysia dan kita pastikan bantuan AAKRP ini benar-benar sampai ke sana.
“Itu sebabnya kita beri terus kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Bulan Sabit Merah di sana dan Mercy.
“Jadi, tidak betul apa yang disebut dalam media sosial, mengatakan kita memberi sewenang-wenangnya kepada NGO…tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) susulan isu dibangkitkan di media sosial berkait dana tersebut, sebelum ini.
Menurut Mohamad, setakat ini, sudah banyak barang bantuan dari Malaysia yang sudha memasuki Gaza melalui jalan darat.
“Barangan kita banyak yang sudah masuk melalui rakan kita di Mesir.
“Kita minta supaya barang Malaysia yang lama tersangkut itu dapat dibawa masuk,” katanya.