KENYATAAN MEDIA
DATUK DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
SETIAUSAHA AGUNG UMNO
1. UMNO menjunjung kasih atas titah tegas Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Dato Sri Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta.
2. Seperti titah Tuanku memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.
3. UMNO berpendirian titah tegas Tuanku ini boleh membawa kepada maksud wujudnya tindakan penderhakaan dan Malaysia tidak boleh dibiarkan ditadbir dan diurus oleh pihak yang jelas membelakangi peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
4. Dengan Titah Yang di-Pertuan Agong ini, UMNO menuntut pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan dibuat serta merta dan pihak yang mengingkari perintah ini perlu dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang undang.
5. UMNO bersama sama dengan seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menjunjung kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong. Semoga Allah memelihara kemulian Tuanku dan menyelamatkan Malaysia daripada tangan tangan yang cuba merobek kedaulatan institusi payung negara.
DATUK DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
SETIAUSAHA AGUNG UMNO