25 JUN : Kementerian Luar Negeri sedang memantau dengan rapat perkembangan kejadian gempa bumi kuat berturut-turut berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud pada skala Richter yang melanda Venezuela, awal hari ini.
Melalui satu kenyataan, kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menzahirkan rasa simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat bencana alam itu.
“Kedutaan Besar Malaysia di Caracas telah mengesahkan bahawa kesemua warganegara Malaysia yang berdaftar di Venezuela pada masa ini berada dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan itu.
Gempa bumi tersebut dilaporkan berlaku kira-kira 21 kilometer dari daerah Moron yang terletak 168 kilometer ke barat Caracas, ibu negara Venezuela.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan termasuk Caracas, wilayah Trujillo, Carabobo, Miranda dan La Guaira yang mengakibatkan kerosakan struktur yang teruk termasuk keruntuhan bangunan.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata pihak berkuasa Venezuela masih lagi menilai keadaan semasa termasuk jumlah kemalangan jiwa dan skala penuh kemusnahan.
“Pihak kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan akan memantau perkembangan situasi ini dengan rapi,” katanya.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melawat kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya, sentiasa berwaspada dan mematuhi sepenuhnya segala arahan pihak berkuasa keselamatan tempatan.
Mana-mana warganegara Malaysia yang masih belum berbuat demikian digesa untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan kadar segera melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my
Manakala bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau ingin menyalurkan maklumat mengenai warganegara Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan yang terjejas, digesa untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas melalui talian +58-212 720 4257 atau +58-424 222 1338 (Telefon/WhatsApp), e-mel: mwcaracas@kln.gov.my atau layari kln.gov.my/web/ven_caracas/home atau https://facebook.com/MalaysiaEmbassyCaracas
Kementerian Luar Negeri akan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.