25 JUN : Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling aman di dunia apabila disenaraikan di tempat ke-12 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026, sekali gus meletakkan ia sebaris dengan negara-negara Asia yang terkenal dengan tahap keselamatan dan kestabilan yang tinggi.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan aspek keamanan, keselamatan dan kestabilan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut turut membuktikan komitmen berterusan pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan dan pelbagai pihak yang memainkan peranan penting dalam memelihara ketenteraman negara.
“Alhamdulillah, keamanan Malaysia diiktiraf dunia! Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling aman di dunia dalam (GPI) 2026 sekali gus meletakkan negara kita sebaris dengan Singapura dan Jepun sebagai antara negara paling aman di Asia.
“Pencapaian ini mencerminkan hasil usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan negara sentiasa menjadi keutamaan. Ia juga adalah hasil komitmen seluruh pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta semua pihak yang tidak pernah berkompromi dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperhebat usaha meningkatkan keselamatan awam, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang serta memperkukuh kawalan sempadan negara, membanteras jenayah serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Menurutnya, keamanan bukan sekadar satu pencapaian tetapi asas kepada kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Insya-Allah, usaha untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, selamat dan stabil akan terus diperkasakan demi manfaat seluruh rakyat.
“Tahniah dan penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara keamanan yang kita kecapi hari ini,” katanya.