29 JUN : Rakyat Malaysia yang berada atau merancang ke Thailand dinasihatkan berwaspada susulan amaran bencana akibat hujan lebat sehingga 3 Julai ini.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla melalui satu kenyataan, hari ini berkata keadaan cuaca itu berpotensi mengakibatkan banjir kilat, banjir, aliran air deras dari kawasan hutan, tanah runtuh serta ombak kuat di kawasan pesisir Laut Andaman.
“Berdasarkan maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM), beberapa kawasan di Thailand dijangka mengalami hujan lebat hingga sangat lebat bagi tempoh 28 Jun hingga 3 Julai 2026.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada atau merancang untuk berkunjung ke Thailand, khususnya ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan cuaca terkini serta mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia juga disarankan supaya mendapatkan perlindungan insurans perjalanan yang bersesuaian sebelum memulakan perjalanan bagi mengurangkan risiko kerugian atau kesulitan yang mungkin timbul akibat kejadian yang tidak dijangka sepanjang berada di Thailand.
Selain itu, orang ramai dinasihat supaya mengelakkan daripada mengunjungi kawasan air terjun, gua, lereng bukit, sungai dan kawasan pantai yang dikenal pasti berisiko, terutamanya sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk atau pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan sekatan keselamatan di kawasan berkenaan.
Bagi yang memerlukan bantuan konsular hubungi +6681-9901930 atau e-mel: mwsongkhla@kin.gov.my