13 NOV : Melaka berpotensi menjadi pentas kejohanan e-sukan bertaraf dunia pada 2028 menerusi cadangan membawa acara berprestij itu ke negeri berkenaan.
Hasrat itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri AZH Jelajah E-Sports Melaka Biru 2026 di Pekan Merlimau, malam tadi.
Menurutnya, perbincangan sudah diadakan dengan Presiden E-Sukan Dunia bagi merealisasikan penganjuran kejohanan berkenaan di Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi.
Beliau berkata, Melaka menjadi pilihan utamanya berbanding beberapa negeri lain termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
“Saya tidak mahu kejohanan ini diadakan di Kuala Lumpur atau di Pulau Pinang atau di Johor. Saya mahu 2028 kejohanan ini dianjurkan di negeri Melaka.
“Apabila Melaka akan jadi tuan rumah pada 2028, insya-Allah, saya akan berbincang dengan Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka),” katanya ketika berucap.
Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan calon BN DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Ahmad Zahid yakin cadangan itu mendapat sokongan Ketua Menteri termasuk kemungkinan kerajaan negeri menaja sepenuhnya penganjuran kejohanan berkenaan sekiranya ia berjaya dibawa ke Melaka.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan harapan tinggi terhadap kemampuan pasukan e-sukan negeri untuk menguasai pertandingan di peringkat Melaka sebelum melangkah lebih jauh mewakili Malaysia.
“Saya mahu lihat pasukan dari Melaka ini akan menjadi johan negeri Melaka. Pasukan Melaka ini juga akan jadi johan seluruh Malaysia,” katanya.
