1 JUL : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan agar tiada lagi mana-mana pihak mengambil kesempatan mendakwa kejayaan pelaksanaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) adalah hasil usaha mereka semata-mata.
Baginda bertitah projek itu merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya.
Dalam titahnya itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengembalikan lima stesen yang dibatalkan pentadbiran sebelum ini.
“Apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 ini tergendala lebih 18 bulan, dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021. Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada DAP bersama penasihatnya, Tony Phua daripada DAP mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan projek ‘mega’ sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Beta ingin tegaskan ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat beta. Ketika Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran Guan Eng (DAP) dan Tony Phua (DAP) juga, saiz setiap stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak keretapi dikurangkan. Lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan.
“Namun, Alhamdulillah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat Beta.
“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas beta ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.
Baginda turut mendedahkan idea pembinaan laluan itu bermula selepas cadangan itu dikemukakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2015 susulan banyak surat diterima daripada rakyat, khususnya suri rumah yang mengadu mengenai kesukaran suami mereka pulang akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.
“Pertama sekali, beta ingin memberi penghargaan (credit) kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mendengar titah beta agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
“Beta masih ingat, titah kepada Datuk Seri Najib Razak dahulu, beta memaklumkan kepada beliau semasa satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada tahun 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan beta itu,” titah baginda lagi.
Sultan Sharafuddin berharap LRT3 mampu mengurangkan kesesakan jalan raya, selain menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat, khususnya penduduk Klang dan Shah Alam yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.
“Beta berharap pembukaan LRT3 ini berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta memberikan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat khususnya yang tinggal di Klang dan Shah Alam dan bekerja di Kuala Lumpur.
“Beta juga berharap pihak Prasarana dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna,” titah baginda.
