8 JUL : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan mana-mana surau di pusat beli belah di Negeri Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata ketetapan Sultan Selangor itu selaras ajaran dan syiar agama agar umat Islam memperkukuhkan fungsi dan peranan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam, selain menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah.
“Sekiranya surau di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, ianya akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid-masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di surau di pusat beli-belah.
“Pada masa ini, terdapat 448 buah masjid dan 379 buah surau yang diberikan kebenaran solat Jumaat di Selangor. Jumlah ini menunjukkan masjid dan surau yang dibenarkan solat Jumaat mencukupi serta mampu menampung jumlahumat Islam sedia ada bagi mendirikan solat Jumaat di Selangor.
“Sebagai tambahan, terdapat juga masjid dan surau yang berada berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam untuk mendirikan solat Jumaat di masjid dan surau solat Jumaat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan dilaporkan mengalu-alukan negeri di seluruh negara melaksanakan solat Jumaat di pusat beli-belah susulan sambutan terhadap beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sultan Selangor sebagai mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat apa-apa ketetapan berhubung ketetapan kebenaran solat Jumaat bagi surau.
Jelasnya lagi, solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia yang lebih sesuai didirikan di dalam masjid dan surau berbanding dengan pelaksanaan di surau yang berada di pusat beli-belah yang lazim dikaitkan sebagai tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi bagi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.
“Walaupun pada masa ini terdapat satu surau di pusat beli-belah di Negeri Selangor yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, namun kebenaran ini adalah bersifat sementara. Ia diberikan kebenaran secara sementara kerana tiada masjid yang berdekatan dengan premis ini.
“Namun demikian, kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika di masa hadapan terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli belah tersebut yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.