NACSA-MCMC-IBM perkukuh AI berdaulat, teknologi kuantum
10 JUL : Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan IBM Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta teknologi kuantum negara.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama yang dimeterai sempena National Cybersecurity Summit 2026 itu bertujuan meneroka penubuhan National Quantum and Artificial Intelligence Centre of Excellence (NQAIC) sebagai platform nasional bagi mempercepat inovasi, memperkukuh keupayaan negara dan menyediakan Malaysia menghadapi era teknologi baharu.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut MCMC, kerjasama berkenaan turut menyokong aspirasi jangka panjang Malaysia untuk membangunkan keupayaan AI dan teknologi kuantum yang selamat, berdaya tahan serta sejajar dengan kepentingan negara, di samping memperkukuh ekosistem digital dan pembangunan bakat tempatan.
MoU tersebut menggariskan tiga bidang kerjasama utama, iaitu pembangunan ekosistem, tadbir urus dan keselamatan yang dipercayai, serta inovasi, pembangunan keupayaan dan bakat.
Di bawah pembangunan ekosistem, ketiga-tiga pihak akan meneroka penubuhan NQAIC dengan menggalakkan kerjasama antara kerajaan, akademia, industri dan rakan strategik bagi memperkukuh inovasi serta penggunaan AI dan teknologi kuantum secara bertanggungjawab.
Bagi aspek tadbir urus dan keselamatan, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan pendekatan AI dan teknologi kuantum yang selamat, dipercayai serta berdaya tahan selaras dengan keutamaan nasional, selain mengukuhkan daya tahan digital negara.
Dalam bidang inovasi dan pembangunan bakat pula, NACSA, MCMC dan IBM akan meneroka perkongsian pengetahuan, penyelidikan, pembangunan teknologi serta latihan bakat dengan memanfaatkan kepakaran global bagi menyokong transformasi digital jangka panjang Malaysia.
MCMC berkata kerjasama itu berlandaskan prinsip berkecuali teknologi, tadbir urus yang dipercayai, inovasi bertanggungjawab dan keterbukaan kepada kerjasama strategik.
“Ia mencerminkan komitmen Malaysia untuk membina keupayaan yang menyokong daya tahan negara sambil memacu inovasi yang memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA