10 JUL : Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas didapati bersalah menerbitkan penerbitan menghasut, dua tahun lalu.
Keputusan itu sekali gus menyebabkan Chegubard hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, bulan depan.
Keputusan itu dibuat Hakim Rasidah Roslee selepas pihak pembelaan gagal membuktikan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
Mengikut kertas pertuduhan, Chegubard didakwa membuat penerbitan menghasut di media sosial berkait projek kasino di Forest City pada 26 April 2024.
Hantaran itu mengaitkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua individu yang didakwanya sebagai taikun judi dengan projek di Forest City.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan kepada mahkamah Chegubard bakal dicalonkan untuk PRN Negeri Sembilan mewakili Parti Wawasan Negara (WAWASAN), 18 Julai ini.
“Namun, dengan hukuman denda RM5,000 ini, Chegubard tidak lagi boleh bertanding. Itulah keputusan mahkamah dan kami akur serta menghormatinya.
“Saya berpendapat kami mempunyai asas yang kukuh untuk rayuan dan berharap doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar Chegubard berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Chegubard dipenjara 20 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Penamaan calon PRN Negeri Sembilan dijadualkan pada 18 Julai ini dan hari pengundian itetapkan pada 1 Ogos depan.