KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SARAWAK
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan. Cuaca panas yang melanda negara turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak menunjukkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada paras tidak sihat.
Berdasarkan pemantauan berterusan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sepanjang cuti persekolahan ini dan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, JPN Sarawak memutuskan penutupan sementara 563 buah sekolah rendah (108,477 orang murid) dan 84 buah sekolah menengah (90,082 orang murid) di bawah seliaan 12 buah pejabat pendidikan daerah (PPD) berikut iaitu PPD Kuching, PPD Padawan, PPD Bau, PPD Lundu, PPD Samarahan, PPD Simunjan, PPD Serian, PPD Sri Aman, PPD Lubok Antu, PPD Kanowit, PPD Julau dan PPD Meradong pada 7 hingga 11 September 2026.
Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah yang terjejas oleh fenomena jerebu selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016; Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.
Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Pihak sekolah diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan serta merujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019; Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bagi Menjamin Kesihatan Dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal bertarikh 15 Januari 2019 dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak dinasihatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan seperti yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2023; Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Semasa Cuaca Panas bertarikh 6 Jun 2023. Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk kepada Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar – Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) bagi memantau tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan atau daerah masing-masing serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
JPN Sarawak amat mengambil berat tentang kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SARAWAK