27 JUL : Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia meninggal dunia dalam satu insiden pergaduhan di Korea Selatan, semalam.
Menerusi kenyataan, kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra itu memaklumkan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa Korea.
“Demi menghormati siasatan yagn sedang berjalan serta privasi keluarga, kementerian tidak akan mendedahkan butiran peribadi lanjut mengenai Alahyarham atau keadaan insiden pada peringkat ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sudah berhubung rapat dengan waris mangsa serta pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Wisma Putra turut memaklumkan pihak keduataan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada keluarga termasuk urusan dokumentasi, pengurusan jenazah serta penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.
Pada masa sama, kementerian memaklumkan seorang lagi rakyat Malaysia turut terbabit dalam siasatan kes berkenaan.
“Kedutaan Besar akan terus mendapatkan maklumat sah daripada pihak berkuasa berkaitan dan bersedia untuk menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia terlibat selaras dengan undang-undang dan peraturan Korea serta obligasi antarabangsa berkaitan,” menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Dalam kenyataan sama, Wisma Putra menegaskan komitmen untuk terus menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di luar negara diingatkan supaya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang serta peraturan negara tuan rumah,” kata Wisma Putra.
Terdahulu, media melaporkan seorang pekerja sektor perkilangan, Ahmad Shah Ahmad Ros, 26 disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan selepas cedera parah akibat ditikam dengan pisau pada bahagian perut.
Difahamkan Allahyarham ke lokasi pergaduhan itu bersama isterinya selepas dihubungi seorang rakan yang juga rakyat Malaysia bagi mendapatkan bantuan.
Ketika cuba meleraikan pergaduhan tersebut, mangsa ditikam suspek yang juga merupakan rakyat negara ini.
Polis kemudiannya menahan suspek dan individu lain yang terlibat bagi membantu siasatan.