30 JUL : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perbincangan bersama syarikat telekomunikasi tempatan bagi menilai potensi pelaksanaan cadangan terkini Starlink.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata wakil penyedia internet satelit itu menemui beliau beberapa hari lalu untuk memaklumkan hasrat menjalankan percubaan teknologi berkenaan di Malaysia.
Menurutnya, teknologi tersebut membolehkan capaian Internet diperluaskan termasuk di kawasan yang tiada menara telekomunikasi.
“Beberapa hari lalu wakil daripada syarikat Starlink telah bertemu dengan saya untuk memaklumkan hasrat mereka melaksanakan perkhidmatan direct-to-device atau direct-to-cell secara percubaan di Malaysia.
“Ini merupakan satu anjakan yang agak signifikan kerana ia membolehkan capaian internet disediakan melalui satelit bagi kawasan tertentu yang tidak mempunyai menara telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) MCMC dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Auditorium MCMC, hari ini.
Katanya, pendekatan itu mampu membuka ruang kepada penyelesaian lebih pantas serta menjimatkan kos berbanding pembinaan menara telekomunikasi baharu di kawasan kurang penduduk.
“Saya telah meminta MCMC menjemput syarikat-syarikat telekomunikasi untuk bersama-sama melihat masa depan yang lebih terhubung dan tidak semestinya bergantung kepada infrastruktur menara semata-mata.
“Untuk membina sebuah menara baharu, prosesnya boleh mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan sekiranya semua urusan berkaitan tanah berjalan lancar.
“Sebab itu kita perlu melihat kepada penyelesaian yang lebih pantas dan lebih kos efektif,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata teknologi berasaskan satelit itu mampu menjadi alternatif terutama di kawasan yang tidak ekonomik untuk pembinaan menara.
Menurut Fahmi, kejayaan percubaan berkenaan mampu menyokong usaha kerajaan memperkukuh liputan komunikasi termasuk di sepanjang lebuh raya serta kawasan pedalaman.
