31 OKT : Beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menyaksikan persaingan dua hingga tiga penjuru selepas proses penamaan calon berlangsung di seluruh negeri, hari ini.
Antara yang menjadi perhatian ialah di DUN Tanjung Bidara yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh yang juga penyandang, dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yunazri Mustamiri.
Sementara di DUN Merlimau, penyandangnya, Datuk Dr Akmal Saleh daripada BN bakal berdepan calon PH, Rahayu Hamzah dalam persaingan dua penjuru.
Kerusi DUN Sungai Udang pula menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin yang mewakili BN, Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada Bersatu dan Mohd Ridzuan Abdul Rahman daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Di DUN Duyong pula, penyandangnya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem daripada BN akan berdepan calon PH-DAP, Poo Long Suan dalam pertembungan dua penjuru.
Bagi DUN Lendu, dua kertas penamaan calon diterima iaitu Nazri Ramli daripada Bersatu dan penyandang kerusi, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid daripada BN.
Dalam perkembangan lain, suasana di pekarangan PPC Dewan Tun Ali, Bukit Katil turut mencuri perhatian apabila kawasan berkenaan bukan sahaja menjadi tumpuan penyokong parti politik, malah turut berlangsung perlawanan bola sepak kanak-kanak dan persiapan majlis perkahwinan.
Turut kelihatan hadir barisan pemimpin utama parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
Sebanyak 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada PRN Melaka kali ini, merangkumi 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 anggota polis.
Calon memiliki 14 hari untuk berkempen bermula hari ini sebelum hari pengundian yang sudah ditetapkan SPR pada 14 Oktober ini.
