30 JUL : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membangunkan Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (Optical Character Recognition Voter Attendance – OCR-VA) bagi mempercepat proses semakan identiti serta penandaan kehadiran pengundi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Negeri Sembilan ke-16.
SPR memaklumkan pelaksanaan rintis sistem itu dijalankan di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor membabitkan Saluran 1 hingga 7 bagi Dewan Negeri (DN) N.14 Ampangan sebagai sebahagian usaha pendigitalan pengurusan pilihan raya.
Menurut kenyataan itu, OCR-VA berfungsi untuk mengimbas dan menyemak maklumat pengundi berdasarkan pangkalan data rasmi SPR, sekali gus mengautomasikan penandaan kehadiran pengundi secara masa nyata yang lebih pantas dan tepat.
“Sistem OCR-VA dibangunkan khusus bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi di saluran mengundi melalui pengimbasan maklumat pada kad pengenalan secara automatik.
“Penggunaan teknologi ini dijangka dapat mempercepatkan proses semakan dan pendataan kehadiran pengundi, mengurangkan kesilapan penandaan kehadiran secara manual serta meningkatkan kecekapan petugas Kerani Pengundian (KP).
“Inisiatif ini juga menyokong usaha pendigitalan proses pilihan raya dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual tanpa menjejaskan tatacara pengundian yang ditetapkan,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, SPR memberi jaminan kerahsiaan undi terpelihara sepenuhnya berikutan pelaksanaan sistem itu hanya melibatkan proses penandaan kehadiran pengundi dan tidak melibatkan proses pengundian atau perekodan pilihan pengundi.
Menurut SPR, pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa, mengemukakan kad pengenalan kepada petugas untuk tujuan semakan, sebelum meneruskan proses pengundian mengikut prosedur yang ditetapkan.
SPR turut memaklumkan sistem itu dibangunkan dengan mengambil kira aspek keselamatan maklumat serta perlindungan data peribadi pengundi.
“Hasil pelaksanaan rintis berkenaan akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti tahap keberkesanan, kecekapan operasi serta potensi peluasan penggunaannya pada pilihan raya akan datang,” kata SPR.
SPR turut memohon kerjasama semua pengundi supaya memberi kerjasama kepada petugas sepanjang pelaksanaan projek rintis itu bagi memastikan urusan pengundian berjalan lancar, teratur serta efisien.