3 OGOS : Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat.
Setiausaha Akhbarnya, Misiah Taib memaklumkan keputusan itu dibuat selepas dinasihatkan pasukan pakar perubatan.
Beliau berkata keadaan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu kini dilaporkan stabil.
“Beliau dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya serta tidak digalakkan menerima pelawat bagi memastikan proses rawatan serta pemulihan berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Orang ramai turut diminta mendoakan urusan pembedahan Fadillah dipermudahkan dan proses rawatan berjalan lancar serta Fadillah dapat segera sembuh sebelum kembali menjalankan tugas.
“Pihak keluarga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas doa, sokongan serta keprihatinan,” katanya.