4 OGOS : Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan sudah dilaksanakan dengan sempurna.
Menurut TH dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) dalam mesyuarat pada 2 September 2020 berpandangan status pembayaran zakat bagi pendeposit pada tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada tahun 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
Jelas TH, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 menetapkan TH adalah institusi yang tidak wajib zakat keatasnya tetapi wajib membayar zakat bagi pihak pendeposit.
“TH secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan ketetapan ini.
“Berhubung pembayaran zakat bagi tahun-tahun semasa kontrak Wadiah Yad Damanah digunakan (2016-2019), pada hakikatnya zakat yang dikeluarkan itu adalah zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang pendeposit yang diniagakan.
“Ini adalah berasaskan kepada pertimbangan TH tidak diwajibkan zakat keatasnya, TH tidak mempunyai pemegang saham dan keseluruhan aset yang diniagakan TH adalah dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas TH, semua zakat yang dibayar pihaknya pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit.
“Pendeposit tidak lagi perlu mengeluarkan zakat ke atas dana deposit yang sama selepas TH melunaskan zakat bagi pihak mereka kerana ianya akan mengakibatkan pertindihan zakat ke atas harta yang sama, yang tidak selaras dengan prinsip Syariah,” menurut TH lagi.
Dalam kenyataan sama, TH turut mengulas soal syor yang diberikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Merujuk kepada syor RCI supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), TH ingin menegaskan bahawa amalan zakat TH telah dibentangkan dan diperakui oleh Jawatankuasa Muzakarah tersebut pada Jun 2024.
“Pandangan Jawatankuasa Muzakarah tersebut seterusnya telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja Raja yang ke-267 pada Oktober 2024.
“TH ingin memaklumkan bahawa keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh JPS TH yang dianggotai oleh pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam,” menurut TH.