4 OGOS : Dua individu direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah serta penyelewengan kontrak susulan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang itu ditahan secara berasingan semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap dua lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu.
Pengarah syarikat itu direman selama dua hari sehingga esok sementara bekas pengurus tersebut direman tiga hari sehingga Khamis.
Menurut sumber, pengarah syarikat itu disyaki memberi rasuah kira-kira RM300,000 kepada seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan beberapa projek ubah suai bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2014 dan 2018.
“Suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000,” katanya, lapor Astro Awani.
Sementara bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah itu disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih kepada dua syarikat perladangan yang juga anak syarikat sebuah badan berkanun membabitkan nilai kira-kira RM8 juta.
Menurut sumber, kesalahan itu dipercayai dilakukan antara 2015 dan 2017.
“Suspek dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan membabitkan kontrak bernilai kira-kira RM8 juta,” katanya.
Kedua-dua tangkapan itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI TH yang didedahkan, bulan lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.