17 OGOS : Kerajaan menyeru semua kementerian, agensi, industri dan masyarakat bekerjasama memastikan kematian akibat nahas jalan raya dapat dikurangkan 50 peratus menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu memerlukan tindakan bersama kerana keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab semua pihak.
Beliau berkata, pendekatan lebih bersasar akan terus diperkukuh bagi meningkatkan tahap keselamatan serta kelancaran perjalanan pengguna jalan raya di seluruh negara.
Kerajaan juga kekal dengan sasaran untuk mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2030. Untuk mencapainya, setiap kementerian, agensi, industri dan masyarakat perlu bergerak bersama kerana keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR), hari ini.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerugian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dianggarkan mencecah RM30 bilion setahun, selain mengorbankan ribuan nyawa.
Kata Alexander, sebanyak 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan pada 2025 bersamaan kira-kira 18 kematian setiap hari.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata dalam aspek keselamatan Ops Cegah akan dipertingkatkan melalui kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan majikan.
Katanya, Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO) pula akan dilaksanakan secara berfasa bagi meningkatkan kompetensi serta profesionalisme pemandu kenderaan berat.
Selain itu, turut diberi perhatian dalam mesyuarat itu katanya adalah persediaan menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru-Singapura khususnya berkaitan penyuraian trafik serta integrasi dengan sistem pengangkutan awam.
“Kita mahu kemudahan baharu ini nanti benar-benar memudahkan pergerakan rakyat dan menyokong mobiliti rentas sempadan yang lebih lancar,” katanya.
Ahmad Zahid berharap keputusan mesyuarat berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan lebih pantas, terselaras dan berimpak.
“Ukuran kejayaan kita bukan berapa banyak kempen atau operasi yang dilaksanakan, tetapi berapa banyak nyawa yang dapat kita selamatkan,” katanya.