19 OGOS : Polis akan merujuk kertas siasatan kemalangan maut yang meragut nyawa tiga beranak melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) awal pagi tadi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata perbincangan dibuat pada 2.45 petang tadi dengan pihak pendakwaan selepas kertas siasatan diteliti.
Menurutnya, pemandu lori dan kereta Proton Saga terlibat juga sudah direman sehari.
“Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan supaya kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara Putrajaya.
“Kertas siasatan berkenaan akan dibawa sendiri oleh Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bersama pegawai penyiasat ke Putrajaya pada 8 pagi esok bagi tujuan sebarang pertuduhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, lori tersebut didakwa melanggar lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta dan melanggar pejalan kaki di persimpangan Jalan Sultan Ismail menyebabkan tiga sekeluarga maut.
Mangsa melibatkan lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara seorang wanita berusia 55 tahun yang juga ibu kepada dua anak perempuan itu dilaporkan cedera parah dan sedang menerima rawatan.
Kesemua mangsa terlibat berasal dari Perak dilaporkan sedang bercuti ke Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, Kampar, malam ini.
