21 OGOS : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dibenarkan pulang selepas selamat menjalani pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) di Institut Jantung Negara (IJN), 12 Ogos lalu.
IJN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berada dalam keadaan stabil serta menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik.
“Beliau akan meneruskan tempoh pemulihan di rumah dengan penjagaan susulan serta menjalani rehabilitasi jantung seperti yang disarankan pasukan perubatan.
“Bagi menyokong proses pemulihan berterusan, pasukan perubatan mengesyorkan supaya jumlah pelawat dihadkan kepada keluarga terdekat buat masa ini bagi membolehkan beliau mendapat masa secukupnya untuk berehat dan pulih,” menurut kenyataan itu.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Fadillah selepas pembedahan berkenaan.
“Kami berbesar hati melihat pemulihan dan perkembangan positif Timbalan Perdana Menteri selepas pembedahan.
“Keadaan beliau sudah bertambah baik dan mencukupi untuk meneruskan pemulihan di rumah, selain akan terus berada bawah pemantauan susulan pasukan perubatan,” katanya.