20 NOV : Wakil masyarakat bukan Islam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Chan Chee How membidas kenyataan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan setiap Jumaat di negeri itu.
Beliau berkata, kenyataan berhubung ketetapan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu boleh menimbulkan salah faham mengenai pelaksanaan peraturan berkenaan, khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurutnya, arahan penutupan dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang itu bukan membabitkan semua premis perniagaan tanpa mengira agama dan kaum seperti yang didakwa.
Sebaliknya, MBKT menjelaskan ketetapan itu hanya melibatkan pasar raya, restoran, kedai makanan dan gerai makan milik orang Islam, termasuk restoran makanan segera.
Premis perniagaan bukan Islam pula tidak tertakluk kepada penguatkuasaan berkenaan, manakala hotel turut dikecualikan bagi memenuhi keperluan orang bermusafir.
Bagaimanapun, premis makanan milik bukan Islam yang menggaji pekerja beragama Islam tetap perlu mematuhi peraturan itu bagi membolehkan pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.
“Persoalannya, mengapa satu ketetapan pentadbiran yang mempunyai penjelasan jelas berkaitan pelaksanaan ibadah umat Islam perlu dibangkitkan dengan cara yang boleh mengundang salah faham dan ketegangan antara kaum?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perbezaan agama dan budaya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan polemik, terutama apabila skop pelaksanaan sesuatu dasar sudah diperjelaskan.
“Kritikan terhadap dasar kerajaan adalah hak dalam sebuah negara demokrasi. Namun, biarlah kritikan dibuat berasaskan fakta, kefahaman terhadap realiti setempat dan semangat menghormati sensitiviti masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya isu berkaitan ibadah tidak dijadikan modal politik sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat yang telah lama terbina.
Terdahulu, hantaran Ahli Parlimen Kota Melaka itu menerima kritikan sebelum beliau memadamnya dan memuat naik kenyataan baharu.