Bantuan ke Nepal diselaras, 57 rakyat masih belum dapat dihubungi
28 OGOS : Kerajaan sedang mempertimbangkan penyaluran bantuan kewangan serta penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Nepal susulan banjir besar di kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menyelaras usaha itu, termasuk mendapatkan maklumat terkini mengenai rakyat Malaysia terjejas.
“Kita sedang menyelaras perkara ini sekarang. Mungkin tidak lama lagi saya akan menerima maklumat daripada MKN yang menyelaras sama ada kita menghantar pasukan keselamatan untuk operasi SAR atau bantuan lain.
“Kita sedang mendapatkan senarai terkini. Terdapat beberapa puluh rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Butterworth, hari ini.
Setakat ini, tiada korban yang disahkan secara rasmi melibatkan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menggesa keluarga rakyat Malaysia terjejas agar menghubungi pihak berkuasa bagi membantu usaha mengesan mereka.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan SAR, agensi pelancongan serta pihak berkaitan bagi mengesan rakyat Malaysia terjejas.
Perwakilan diplomatik Malaysia di Kathmandu dan New Delhi turut digerakkan bagi membantu usaha berkenaan.
Selain itu, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa bencana serta memuji usaha pasukan penyelamat menjalankan operasi dalam keadaan amat mencabar.
Banjir itu menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur apabila 19 jambatan musnah, selain sebahagian laluan lebuh raya utama sepanjang kira-kira 40 kilometer terjejas.
Keadaan itu menyebabkan hubungan pengangkutan di beberapa kawasan terputus, sekali gus menyukarkan pasukan penyelamat menjalankan operasi.
Penduduk yang masih terkandas turut dinasihatkan menyalakan api atau menghasilkan asap bagi memberikan isyarat kepada pasukan penyelamat mengenai lokasi mereka.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA