29 OGOS :Kritikan terhadap tindakan kerajaan tidak akan menghalang siasatan berhubung isu dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) daripada diteruskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika wujudnya salah laku dikesan, maka tindakan perlu diambil selaras undang-undang.
“Macam (RCI) Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi, (tetapi) ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham.
“Saya kata duit hilang RM12 bilion, macam mana hilang? Bila hilang? Siapa yang hilangkan, hal itu siasat. Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim. Itu cara kita perintah dan mentadbir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Penanti, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa melalui proses sewajarnya.
Beliau berkata tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti kukuh mengenai salah laku, manakala keputusan akhir diserahkan kepada mahkamah.
RCI mengenai TH ditubuhkan bagi meneliti isu pengurusan serta urus tadbir institusi berkenaan, termasuk perkara berkaitan kedudukan kewangan dan keputusan pelaburan yang dibuat sebelum ini.
Laporan RCI berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai kerugian besar yang ditanggung TH, termasuk kira-kira RM12 bilion.
Isu itu kemudian mendapat perhatian susulan keperluan untuk mengenal pasti punca kerugian serta pihak yang bertanggungjawab.
Kerajaan sebelum ini menegaskan sebarang tindakan susulan terhadap pihak terbabit perlu dibuat berdasarkan hasil siasatan dan bukti kukuh.
Proses pendakwaan juga perlu mengikut undang-undang bagi memastikan mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.
